Sunday, January 27, 2013

Ihya' Jumaat

Alhamdulilah, solat fardu Jumaat dapat disempurnakan sepertimana minggu-minggu sebelumnya di Surau Nurul Hikmah KOA Tonggang.Selain kewajipan dalam melaksanakan ibadah kerana Allah, solat Jumaat atau lebih dikenali sebagai Ihya' Jumaat adalah proses pembelajaran dan penghayatan yang berterusan untuk masyarakat Orang Asli. Dengan harapan, kelak mereka mampu mendirikan solat Jumaat dengan upaya dan tenaga masyarakat sendiri. InsyAllah.

Ihya' Jumaat bukan hanya sebatas menghidupkan solat fardu Jumaat, bahkan turut diisikan dengan pelbagai kegiatan keagaamaan seperti kelas fardu Ain yang dikendalikan oleh Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) An Nikmah dan turut diselitkan dengan makan tengah hari bersama yang dijalankan secara gotong royong oleh masyarakat OA khasnya ibu-ibu rumahtangga. Di sela-sela masa yang ada, biasanya ada diskusi dan perbincangan di antara mubaligh JAIPk, JAKOA, JAKIM atau masyarakat itu sendiri dalam mengangkat persoalan yang dihadapi oleh masyarakat.

Dalam menghidupkan Ihya' Jumaat, pihak Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta berharap dapat diperluaskan Ihya' Jumaat di beberapa KOA yang lain dengan tenaga pendakwah dan sukarelawan agar syiar keindahan Islam dapat dirasakan bersama.

Khutbah Jumaat


Salaman

Tabung Surau

Ong Teh (Minum teh) ba'da Jumaat

Kelas Fardu Ain SRAR An Nikmah

Friday, January 25, 2013

Pengenalan KOA Zon Kinta( Bahasa Temiar)

Alhamdulilah, kali ini dimuatkan rakaman pengenalan Kampung Orang Asli di daerah Kinta oleh Ustz Abd Halim bin Abdul Latiff selaku Pembina Utama Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta dalam Bahasa Temiar. InsyAllah, dalam waktu terdekat akan disertakan terjemahan.


Sambutan Maulidur Rasul

Alhamdulilah pada 24 Januari 2013 bersamaan 12 RabiulAwal  1434H, Pusat Dakwah & Kebajikan Orang Asli Hulu Kinta telah meraikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Kampung Orang Asli (KOA) Zon Kinta di KOA Tonggang. Sambutan kali ini dimeriahkan dengan ceramah tentang baginda  Nabi Muhammad SAW oleh Ustz Abd Halim bin Abdul Latiff dan penyampaian anugerah Maulidur Rasul untuk kategori keluarga bahagia, remaja contoh dan kanak-kanak contoh. Sesudah itu, sambutan diceriakan dengan cak raya bersama.

Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Wanita Orang Asli Islam Perak dan AJK Surau An Nikmah, KOA Tonggang. Disamping itu, pihak pengurusan juga ingin merakamkan terima kasih kepada YB Dato' Rusnah Kassim (ADUN Hulu Kinta), Hj Meor (JAKOA), Mubaligh-mubaligh JAIPk serta warga KOA Tonggang yang membantu dari segi kewangan dalam menjayakan sambutan Maulidur Rasul kali ini.





Sunday, January 20, 2013

Portable Stretcher

Diperlukan dua  unit pengusung mudah alih @ portable stretcher untuk kegunaan memindahkan jenazah. Harga sebuah unit diperkirakan adalah RM230. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbang dapatlah menghubungi kami



Kenderaan Dakwah

Dalam melancarkan setiap program dijalankan oleh Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta, pihak pengurusan menggunakan kenderaan pancuan 4 roda Mitsubishi Pajero sebagai alat pengangkutan utama atau lebih dikenali 'kenderaan dakwah' kerana perannya yang amat besar dalam kegiatan dakwah.
Selain berperan sebagai 'kenderaan dakwah' dalam menjalankan usaha-usaha dakwah, 'kenderaan dakwah' ini juga berperanan sebagai kenderaan jenazah apabila diperlukan dan truk untuk mengangkat pelbagai barang-barang untuk keperluan di tempat yang dituju.

Geografi yang berbukit bukau dan jalanan balak menyukarkan perjalanan sekiranya dengan kenderaan biasa. Oleh hal demikian, khidmat kenderaan pacuan 4 roda seperti 'kenderaan dakwah' ini amatlah diperlukan walaupun sering uzur dalam menjalankan khidmat.

Sehubungan dengan itu, kami juga amat mengalu-alukan bantuan kepada pihak yang sudi untuk menyediakan sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang baru atau bekas, ataupun membiayai kos-kos penjagaan dan servis kenderaan dakwah yang sedia ada agar dapat terus bertahan dalam menjalankan khidmat.

Truk Barang

Bawa Student2 Khidmat Sosial

Mengangkat jenazah


Profil Pembina Utama

Pembina Utama Pertubuhan Dakwah & Kebajikan Masyarakat OA Hulu Kinta, Ustaz Abd Halim bin Abdul Latiff adalah merupakan mubaligh dari Unit Dakwah & Saudara Baru, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) di daerah Hulu Kinta merangkumi, Tanjung Rambutan, Chemor dan kawasan sekitarnya.

Selain aktif dalam dakwah, beliau juga aktif dalam pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersifat sukarelawan.
Antara jawatan yang pernah dan masih disandang beliau;
1. Pengerusi Persatuan Pendakwah & Orang Asli Islam Kuala Kangsar (2004-sekarang)
2. Pengerusi Pertubuhan Dakwah & Kebajikan Masyarakat OA Hulu Kinta (2012-sekarang)
3. AJK Malaysian Relief Agency (MRA) Chapter Perak
4. AJK Islamic Outreach ABIM Perak
5. AJK Islamic Outreach ABIM (IOA) Sungai Siput
6. Pengurusi Surau KOA Sg Chadak, Hulu Kinta
7. Pengerusi Surau KOA Kenang, Jalong Tinggi, Sungai Siput
8. Timbalan Ketua Mubaligh JAIPk Zon Kinta
8. Ahli Briged Bakti (Dato' Dr Abdul Razak Kechik)

Dalam melancarkan setiap program dakwah & kebajikan OA, beliau juga mengharapkan bantuan sumbangan orang ramai memandangkan peruntukan yang sedia ada amatlah terbatas. Penglibatan aktif masyarakat bukan sebatas sumbangan kewangan, tapi juga amat dialu-alukan sumbangan barang-barang serta sukarelawan dalam setiap program. Ini secara tidak langsung memperlihatkan kepeduliaan dan kebersamaan masyarakat terhadap komuniti OA khasnya yang beragama Islam yang masih perlu dibantu dari semua sudut aspek.

Selain itu, beliau menegaskan bahwa apa yang disumbangkan adalah merupakan 'harta' yang sangat bernilai walaupun hayat sudah dikandung tanah kerana amal jariah inilah yang bakal terus-terusan membahagiakan kita kelak. InsyAllah.

Saturday, January 19, 2013

Program Anak Angkat UITM

Pada 25-27 Mei 2012 yang lalu, UiTM Seri Iskandar dengan kerjasama Komuniti 1Malaysia serta beberapa badan pertubuhan lain  telah melakukan program anak angkat di KOA Tonggang atas semangat 1 Malaysia. Selain itu, objektif lain diadakan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa-mahasiswi UiTM akan masyarakat OA khasnya OA suku Temiar.

Program 3 hari 2 malam itu telah diisi dengan pelbagai slot pengisian untuk semua kalangan usia antaranya sukaneka & pendidikan, gotong royong membangun dan membersihkan dewan komuniti, program kerohanian dan lain-lain lagi.

Program tersebut turut menyita perhatian Ahli Parlimen Tambun, YB Dato' Seri Husni Hanadzlah melalui wakilnya ADUN Hulu Kinta, Dato' Rusnah Kassim yang mengambil peluang untuk merasmikan program penutup. Beliau berharap, dengan program dan pendedahan seperti ini akan memberi satu pengalaman yang sangat bermanfaat kepada semua peserta yang mengambil bahagian



Al Fatihah

Innalilah hi wainnalillahirajiun, telah kembali Almarhumah Wa Ngah  dari KOA Jelintoh, Gopeng menghadap Yang Maha Kuasa pada 19 Januari 2013 bersamaan 7 RabiulAwal 1423H.

Segala urusan berupa pemandian, kafan, solat jenazah dan pengebumian telah dilakukan oleh beberapa sahabat pendakwah JAKIM termasuk pembina Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta, Ustaz Abd Halim Abdul Latiff.

KOA Jelintoh, Gopeng adalah kawasan minoriti Islam. Dikarenakan itu, terdapat beberapa kendala terutama sokongan dan  kerjasama masyarakat setempat dalam menguruskan jenazah. Walaubagaimanapun, semua kendala itu dapat diharungi dengan mudah atas kesungguhan sahabat-sahabat pendakwah yang tidak kenal erti putus asa hingga mampu meraih simpati segelintir masyarakat OA.






Ceramah on Utube

Dalam memantapkan usaha dakwah agar tidak ketinggalan arus modenisasi, InsyAllah pihak pengurusan telah bercadang untuk merakam ceramah / tazkirah ringkas yang akan disampaikan dalam bahasa OA Suku Temiar dalam laman Youtube. Ceramah / tazkirah ringkas ini juga akan dilengkapkan dengan terjemahan agar memudahkan masyarakat umum untuk memahaminya. 

Persoalan yang disentuh juga tidak jauh dari kehidupan seharian masyarakat OA agar mereka melihat Islam itu mudah dan indah untuk diamalkan. Untuk ini, pihak pengurusan sedang merangka konsep dasar berdasarkan pendekatan yang pernah diterapkan sebelumnya. Diharapkan dengan upaya ini, dapat bermanfaat untuk semua pihak baik masyarakat OA ataupun masyarakat umum.





Friday, January 18, 2013

Khairat Kematian

InsyAllah dalam waktu terdekat, pihak pengurusan bercadang mewujudkan Tabung Khairat Kematian khas untuk masyarakat OA Hulu Kinta. Antara tujuan utama yang difikirkan untuk penubuhan ini adalah untuk memberi bantuan kewangan dan juga tenaga kepada ahli apabila berlaku kematian di antara mereka dan juga untuk menjaga kebajikan sesama mereka.
Sebarang pendapat dan pandangan amatlah dialu-alukan.

Iftar bersama masyarakat KOA Tonggang

Alhamdulilan, pada 26 Julai 2012 bersamaan 6 Ramadhan 1423 telah dapat sama-sama masyarakat KOA Tonggang untuk majlis berbuka bersama. Di samping masyarakat OA, majlis berbuka turut diserikan dengan kehadiran pimpinan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Angkatan Belia Malaysia (ABIM) serta peserta-peserta tabligh.

Dalam meraikan kemulian ramadhan, sedikit tazkirah dan tahlil turut diadakan. Majlis telah dipimpin oleh Ustz Abdul Halim selaku mubaligh Hulu Kinta.

Dalam majlis tersebut, turut disertai oleh bekas Pengarah Tabung Haji Kelantan, Dato' Kamal yang kini aktif bersama peserta tabligh serta Ketua Penolong Pengarah JAIPK unit dakwah yang baru.

Selanjutnya majlis diteruskan dengan solat magrib, solat isya dan solat sunat terawih secara berjamaah. Turut dilakukan Qiamulail pada sebelah malamnya.


Penyelidikan & Pemeriksaan Kesihatan

Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta turut bekerjasama dengan pelajar-pelajar perubatan RCMP-UniKL yang menjalankan penyelidikan kesihatan di kalangan Orang Asli sebagai perantara. Sepanjang 2012, terdapat 3 penyelidikan kesihatan yang telah dijalankan di dua buah KOA iaitu di KOA Tonggang dan KOA Sg Choh. Antara penyelidikan kesihatan yang dijalankankan adalah ;
1) Prevalence of Hypertension, Diabetes and Metabolic among Orang Asli. Comparison between Rural and Suburban.
2) Study of Pediculus Humanus Capitis among Orang Asli
3) Study of Scabies among Orang Asli

Disamping menjalankan penyelidikan, pihak mahasiwa perubatan RCMP-UNIKL turut mengadakan pemeriksaan secara percuma serta pameran kesihatan. Dan diakhir program, kebiasaanya akan dilakukan jamuan bersama untuk merapatkan silaturahmi antara pelajar-pelajar dan amsyarakat setempat.







Eidul Adha 2012 dan Qurban

Alhamdulilah, berkesempatan meraikan Eidul Adha bersama masyarakat KOA Tonggang. Solat dan khutbah EidulAdha telah diimamkan oleh Ustz Abdul Halim. Khutbah banyak menyentuh pentingnya korban dan kisah disebalik perjalanan korban itu sendiri. Sesudah solat dan khutbah, bersama-sama masyarakat OA menyempurnakan ibadah korban. Untuk kali ini, terdapat 2 ekor lembu hasil daripada sumbangan peserta korban.Sesudah proses penyembelihan, bersama-sama bertamu ke rumah masyarakat dalam menghidupkan budaya ziarah menzirah. Kebetulan, Hari EidulAdha jatuh pada Jumaat, maka terus disempurnakan Solat Jumaat dan jamuan bersama selepas solat Jumaat.


Sumbangan & Bantuan

Assalamualaikum dan Salam Kebersamaan, Pusat Dakwah & Kebajikan Orang Asli Hulu Kinta sangat mengalu-alukan sebarang sumbangan kewangan dan materi dalam melancarkan sebarang aktiviti yang dirancang. InsyAllah, dalam waktu terdekat adalah sambutan Maulidur Rasul yang bakal diadakan di KOA Tonggang. Sambutan Maulidur Rasul ini adalah merupakan sebahagian dari kalendar tahunan Pusat Dakwah & Kebajikan Orang Asli Hulu Kinta dalam memaknai dan menghayati disebalik sambutan tersebut.
Jika ada pihak yang berminat untuk menyumbang, dapatlah kiranya menghubungi Ustaz Abdul Halim, Pembina Utama Pusat Dakwah & Kebajikan Orang Asli Hulu Kinta. Sebarang pertanyaan juga amat dialu-alukan. Semoga setiap apa yang disumbangkan memberi manfaat untuk semua baik dari penerima mahupun penyumbang.

Ustz Abdul Halim :  014-43073193

Wednesday, January 16, 2013

Aktiviti-aktiviti sepanjang 2012

Sepanjang 2012, pelbagai aktiviti yang telah dijalankan oleh Pusat Dakwah & Kebajikan Orang Asli Hulu Kinta. Untuk info lanjut, bolehla ke halaman Altiviti 2012.



Al Fatihah

DariNya kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Alfatihah buat Almarhumah Uda binti Anjang, warga KOA Sg Baduk yang telah kembali kerahmatullah pada 15 Januari 2013. Almarhumah telah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan telah disempurnakan pemandian jenazah dan solat jenazah di rumah mayat HRPB. Almarhumah disahkan menghidap barah perut yang kronik. 

Jenazah selamat dikebumikan pada hari yang sama. Dan sebelah malamnya, majlis tahlil telah diadakan di rumah keluarga Almarhumah dengan dipimpin oleh Ustz Abdul Halim dan Uztz Zamri (JAKIM). 



Akad Nikah

Alhamdulilah, pada 11 Januari 2013 telah meraikan saudara Dollah dan pasangannya dalam majlis ringkas akad nikah di rumah pengantin perempuan di KOA Tonggang. Sebelumnya, Dollah adalah merupakan saudara baru telah mengucapkan dua kalimah syahadah dengan disaksikan Ustz Abdul Halim (Mubaligh JAIPk). Proses akad nikah ini telah disempurnakan Ustz Samad, jurunikah dan pendaftar nikah cerai Tanjung Rambutan dengan disaksikan ahli keluarga terdekat dan wakil JKKK KOA Tonggang sendiri.

Bagi meraikan tetamu yang hadir, jamuan kecil turut disediakan iaitu cempedak gergasi goreng.