Friday, February 15, 2013

Kelas Memasak

Alhamdulilah pada 7 Februari 2013, Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Orang Asli Perak buat julung-julung kalinya telah berjaya mengadakan kelas memasak di perkampungan Orang Asli Tonggang. Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Orang Asli Perak adalah merupakan rakan kerja baru dan sayap kanan untuk Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta memandangkan berkongsi ideologi dan matlamat yang sama.

Ustazah Nor Ashikin Bt Ismail, selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Orang Asli Perak bersama kepimpinan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) yang lain telah melakukan terobosan baru dalam memantapkan kemandirian dan ekonomi Orang Asli. Dengan mensasarkan golongan suri rumah dan golongan wanita, kelas memasak  yang dianjurkan berjaya menarik seramai 25 orang peserta yang terdiri dari pelbagai lapisan usia. 

Kelas memasak ini adalah merupakan asas kepada persiapan dan kemandirian ekonomi sampingan yang mampu dijana kelak oleh setiap keluarga Orang Asli. Kelas memasak ini diketuai oleh Ustazah Nur Hidayah selaku Chef Utama pada hari tersebut dengan tema masakan adalah kek cokelat. Dengan sedikit demontrasi yang ditunjukkan, para peserta dapat mengikutinya dengan baik.

Selain kelas memasak, acara pada hari itu turut diselitkan dengan tazkirah keluarga sementara menunggu kek masak dan siap dihidangkan.

InsyAllah, Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Orang Asli Perak turut mensasarkan Usaha Kecil & Sederhana (UKS) sebagai matlamat terdekat dengan kerjasama Pusat Dakwah & Kebajikan OA Hulu Kinta bersama dengan pertubuhan dan agensi-agensi lain.




Sunday, February 10, 2013

Yayasan Al Khalifah

Yayasan Al Khalifah melalui dua pegawainya iaitu, En Shamsul dan Encik Azhar telah berkesempatan hadir dan meluangkan masa untuk meninjau dan beramah mesra dengan penduduk Orang Asli di kawasan Hulu Kinta khasnya di KOA Tonggang, KOA Makmur dan KOA Sg Choh. Ini adalah merupakan kunjungan kali pertama mereka di kawasan Hulu Kinta.

Yayasan Al Khalifah adalah merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang aktif dalam kerja-kerja sosial dan Orang Asli khasnya di Gua Musang, Kelantan. Yayasan Al Khalifah juga merupakan salah satu rakan kerja Malaysia Relief Agency (MRA) yang aktif dalam kerja-kerja sosial di dalam negara mahupun luar negara.

Kunjungan mereka kali ini bukan hanya sebatas untuk bersilaturahmi tapi turut diselitkan dengan agenda sosial lain seperti penyerahan sumbangan baju-baju dan makanan, makan bersama penduduk dan sesi dialog khasnya berkenaan peluang pendidikan untuk anak-anak Orang Asli yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi tanpa dikenakan biaya. Di samping itu, Yayasan Al Khalifah turut menyuarakan pandangan untuk bekerjasama dengan penduduk setempat khasnya melibatkan aktiviti sosial bersama pelajar-pelajar Institut Perguruan Tinggi (IPT) di Malaysia. Pandangan ini dilontarkan sewaktu majlis makan bersama penduduk KOA Sg Choh.

Diharapkan, dengan kerjasama seperti ini dapat melibatkan lebih ramai pihak lagi yang peduli dan prihatin terhadap nasib Orang Asli.

Penyerahan sumbangan makanan untuk program Ihya Jumaat
KOA Makmur
Makan bersama di KOA Sg Choh
Bihun Sup



Mesyuarat Dengar Pendapat

Alhamdulilah, pada 8 Februari 2013 yang lalu telah diadakan mesyuarat dengar pendapat dikalangan masyarakat KOA Tonggang bersama kepengurusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Pusat Dakwah & Kebajikan Orang Asli Hulu Kinta , AJK Surau Nurul Hikmah KOA Tonggang dan Persatuan Wanita Orang Asli Islam Perak. Mesyuarat turut diserikan dengan kehadiran perwakilan dari Yayasan Al Khalifah.

Antara agenda yang dibangkitkan dalam perbincangan tersebut adalah saranan pembinaan surau diri Jumaat yang baru beserta kemudahan asas surau yang lain serta penaiktarafan surau sedia ada kepada Sekolah  Rendah Agama Rakyat (SRAR) yang lebih lengkap untuk proses pembelajaran. Saranan ini dikemukakan oleh Hj Meor (JAKOA) mengingat bahwa kemudahan yang sedia ada mungkin sudah tidak mampu lagi menampung jemaah Jumaat untuk beberapa tahun ke depan serta mempelbagaikan fungsi surau sebagai pusat agama.

Di samping itu, agenda tahunan surau Nurul Hikmah untuk tahun 2013 turut menjadi perhatian. Ini dikarenakan Surau Nurul Hikmah sebagai pusat aktiviti keagamaan setempat mampu menarik minat masyarakat setempat dalam mengimarahkan kehadiran di Surau Nurul Hikmah khasnya di dalam majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan. Hal ini dibangkitkan oleh Ustz Abd Halim selaku mubaligh JAIPk dan pengerusi majlis. Beliau turut mengesyorkan beberapa program berupa kursus itensif asas Fardu Ain dalam memantapkan penghayatan Islam di kalangan masayarakat Orang Asli khasnya di kalangan remaja selaku pelapis generasi masa akan datang.

Pertubuhan Kebajikan Wanita Orang Asli Islam Perak melalui Ustazah Rafeah turut memaklumkan untuk memajukan sektor ekonomi ibu rumah tangga dengan memperkenalkan Usaha Kecil & Sederhana (UKS) seperti usaha kerepek ubi. Sektor ini mampu menjana pendapatan sampingan untuk seisi keluarga.

Manakala, Penghulu Islam KOA Tonggang Encik Jasa Chalon pula memaklumkan akan keperluan kelengkapan membersih seperti mesin rumput, mesin pemotong kayu, pam racun, dan stor untuk kegunaan membersih dan mengindahkan surau. Di samping itu, turut diselitkan akan keperluan pengurusan jenazah seperti cangkul, tempat pemandian, dan pengusung jenazah.

Diakhir mesyuarat dengar pendapat, diadakan majlis penyampaian pelajar-pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) untuk tahun 2012. Alhamdulilah, kesemua pelajar-pelajar SRAR An Nikmah lulus 100%.

Dan seperti Jumaat pada kebiasaanya, para hadirin diraikan dengan jamuan makan bersama yang mana semuanya dilakukan secara gotong royong.