Wednesday, November 5, 2014

Bicara Perjuangan

Lebih kurang 14 tahun yang lalu, perjuangan beliau di dalam dunia dakwah belantara bermula. Dengan berbekalkan semangat dan niat untuk mendidik, beliau gagahkan untuk membelah belantara dan dalamnya tasik. 

Pada awalnya, beliau hanya merupakan guru agama dan fardu ain dengan pendapatan ketika itu hanya RM 400 sahaja. RM 100 disisihkan untuk usaha dakwah beliau di belantara, dan sisanya untuk beliau dan keluarga beliau di Grik.

Perjalanan dakwah beliau bermula sebaik sahaja beliau melangkah keluar rumah yang pada ketika itu di Grik dengan menaiki prebet sapu ke jeti Tasek Temenggor. Dan perjalanan dilanjutkan ke perkampungan Orang Asli Pos Kemar dengan menggunakan bot. Beliau membelanjakan RM20 untuk prebet sapu dan RM 20 untuk sewa bot setiap bulannya. Manakala, sebanyak RM 60 beliau belanjakan untuk membeli barang-barang makanan seperti beras, gula, kopi, susu dan sebagainya untuk meraikan penduduk kampung Orang Asli.

Bukan hanya dugaan dalam berdakwah, beliau juga diuji untuk meninggalkan keluarga seketika bagi memastikan usaha dakwah di pendalaman benar-benar berhasil. Dalam sebulan, hampir separuh daripadanya beliau berada di pendalaman. Perjuangan yang cukup berat bagi beliau dan keluarga beliau ketika itu.

Bersinarnya permata dakwah muda akhirnya ditanggapi oleh seseorang yang amat berpengaruh iaitu Ustz Hj Halimin. Beliau menawarkan dan mencadangkan pendakwah muda ini dilantik sebagai salah seorang mubaligh Islam Orang Asli di bawah Majlis Agama Islam Perak (MAIPk)/ Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Akhirnya beliau ditempatkan di perkampungan Orang Asli Kenang, Sungai Siput dan mendalami ilmu agama dan peran sebagai pendakwah belantara. Kian hari, sinarnya makin cerah dengan kesungguhan dan komitmen beliau yang tidak berbelah bagi dalam usaha dakwah belantara. Pada ketika itu, beliau bukan hanya ditempatkan untuk bertugas di sana tapi turut memulakan langkah hijrah beliau sekeluarga untuk tinggal bersama-sama masyarakat Orang Asli.

Dalam melangkah, pasti ada aral yang melintang di tengah-tengah. Tapi berbekalkan sabar dan semangat tidak putus asa, beliau terus melangkah mencicipi hari demi hari sesuai dengan motto beliau "Tiada Hari Tanpa Dakwah".

Hingga saat ini, beliau merupakan mubaligh Islam Orang Asli yang disegani dikalangan mubaligh-mubaligh / penggerak baru JAIPk/ JAKIM dan dikalangan sahabat-sahabat sukarelawan belantara NGO.

Beliau yang saya maksudkan adalah AF Ustaz Abd Halim bin Abd Latiff, pengerusi Pertubuhan Dakwah dan Kebajikan Masyarakat Orang Asli Hulu Kinta Perak. Semoga Allah terus merahmati dan mempermudahkan urusan beliau di dalam dunia dakwah belantara. Ameen.













No comments:

Post a Comment