Thursday, November 6, 2014

AL haqq bilaa Nidzoom, yaghlibu al Baatil bi nidzoom

Konsep " AL haqq bilaa Nidzoom, yaghlibu al Baatil bi nidzoom" Di dalam Aktiviti Dakwah dan Kebajikan Masyarakat Orang Asli.

Di dalam usaha untuk merencanakan dan merancakkan pelbagai aktiviti dakwah dan kebajikan (ADK) bagi Masyarakat Orang Asli (MOA) sudah pasti memerlukan satu perancangan yang rapi. Tidak semudah kita melaksanakan ADK bagi masyarakat di bandar yang pertuturan bahasa hariannya sama dengan kita, pemakanan dan juga gaya hidup yang sudah serasi dengan kehidupan di bandar mahupun di persisiran bandar. Sepanjang penglibatan kami dalam ADK bagi MOA, kami dapati terdapat beberapa faktor dari sudut bahasa suku kaum, adat resam, penerimaan MOA terhadap masyarakat luar ke KOA dan beberapa faktor yang lain perlu diambil kira dan diperhalusi sebelum sesuatu ADK boleh dilaksanakan. 

Justeru itu, kami telah mengenal pasti beberapa strategi perlu digariskan sebagai panduan untuk melaksanakan sesuatu misi ADK samada berbentuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Di antara strategi-strategi dan juga pendekatan yang kami telah adaptasikan ialah seperti berikut:- 
1. Konsep "smart partnership" ; 
2. Multi Level Marketing ("MLM"); 
3.Garis Panduan Pemilihan/Pelaksanaan Modul yang standard; 
4. "Networking" yang mantap dan luas; 
5. Kesinambungan hubungan ukhuwwah yg dijalinkan/hubungan yang baik dgn MOA; 
6. Adunan kepelbagaian kepakaran; 
7. Fleksibel; dan 
8. Menjiwai setiap ADK yang dilaksanakan. 

Apa pun strategi-strategi yang kami gariskan tetapi kata kunci yang kami WAJIB pegang dan paling ASAS ialah NIAT yg IKHLAS, semata-mata kerana Allah SWT. 

In shaa Allah kami akan memperincikan satu persatu strategi-strategi yang telah kami gariskan pada masa akan datang. Kami amat terbuka dan sangat mengalu-alukan dari semua pihak untuk sama-sama menilai dan memberikan sumbang saran mahupun ide yang membina bagi memantapkan lagi strategi untuk ADK bagi MOA. 

Sekian 


#sedang membuat persiapan untuk Program Mahabbah Outreach (7-9 Nov. 2014 bertempat di KOA Kg Pisang, Sg. Siput, Perak) anjuran bersama KPTM, MRA Pusat, MRA Perak, COMRADE IIUM, JAIPk, JAKIM, JAKOA dan Sukarelawan Medical Team dari UniKL RCMP. 





Wednesday, November 5, 2014

Bicara Perjuangan

Lebih kurang 14 tahun yang lalu, perjuangan beliau di dalam dunia dakwah belantara bermula. Dengan berbekalkan semangat dan niat untuk mendidik, beliau gagahkan untuk membelah belantara dan dalamnya tasik. 

Pada awalnya, beliau hanya merupakan guru agama dan fardu ain dengan pendapatan ketika itu hanya RM 400 sahaja. RM 100 disisihkan untuk usaha dakwah beliau di belantara, dan sisanya untuk beliau dan keluarga beliau di Grik.

Perjalanan dakwah beliau bermula sebaik sahaja beliau melangkah keluar rumah yang pada ketika itu di Grik dengan menaiki prebet sapu ke jeti Tasek Temenggor. Dan perjalanan dilanjutkan ke perkampungan Orang Asli Pos Kemar dengan menggunakan bot. Beliau membelanjakan RM20 untuk prebet sapu dan RM 20 untuk sewa bot setiap bulannya. Manakala, sebanyak RM 60 beliau belanjakan untuk membeli barang-barang makanan seperti beras, gula, kopi, susu dan sebagainya untuk meraikan penduduk kampung Orang Asli.

Bukan hanya dugaan dalam berdakwah, beliau juga diuji untuk meninggalkan keluarga seketika bagi memastikan usaha dakwah di pendalaman benar-benar berhasil. Dalam sebulan, hampir separuh daripadanya beliau berada di pendalaman. Perjuangan yang cukup berat bagi beliau dan keluarga beliau ketika itu.

Bersinarnya permata dakwah muda akhirnya ditanggapi oleh seseorang yang amat berpengaruh iaitu Ustz Hj Halimin. Beliau menawarkan dan mencadangkan pendakwah muda ini dilantik sebagai salah seorang mubaligh Islam Orang Asli di bawah Majlis Agama Islam Perak (MAIPk)/ Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Akhirnya beliau ditempatkan di perkampungan Orang Asli Kenang, Sungai Siput dan mendalami ilmu agama dan peran sebagai pendakwah belantara. Kian hari, sinarnya makin cerah dengan kesungguhan dan komitmen beliau yang tidak berbelah bagi dalam usaha dakwah belantara. Pada ketika itu, beliau bukan hanya ditempatkan untuk bertugas di sana tapi turut memulakan langkah hijrah beliau sekeluarga untuk tinggal bersama-sama masyarakat Orang Asli.

Dalam melangkah, pasti ada aral yang melintang di tengah-tengah. Tapi berbekalkan sabar dan semangat tidak putus asa, beliau terus melangkah mencicipi hari demi hari sesuai dengan motto beliau "Tiada Hari Tanpa Dakwah".

Hingga saat ini, beliau merupakan mubaligh Islam Orang Asli yang disegani dikalangan mubaligh-mubaligh / penggerak baru JAIPk/ JAKIM dan dikalangan sahabat-sahabat sukarelawan belantara NGO.

Beliau yang saya maksudkan adalah AF Ustaz Abd Halim bin Abd Latiff, pengerusi Pertubuhan Dakwah dan Kebajikan Masyarakat Orang Asli Hulu Kinta Perak. Semoga Allah terus merahmati dan mempermudahkan urusan beliau di dalam dunia dakwah belantara. Ameen.













Monday, November 3, 2014

Program Ziarah & Anak Angkat ke Perkampungan Orang Asli Sg Peria, Kampar

Alhamdulilah, Program Ziarah & Anak Angkat ke Perkampungan Orang Asli Sg Peria, Kampar pada 31 Oktober - 2 November telah berjaya disempurnakan dengan jayanya. Program kali ini ditunjangi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dan pertubuhan selaku penyelaras sukarelawan.  Dengan kekuatan seramai 35 orang sukarelawan & pengiring dari Kolej Perubatan Di Raja Perak (RCMP-UniKL), program ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang 3 hari 2 malam tersebut yangmana didominasi oleh program berasaskan kesihatan komuniti dan kesihatan asas.

Program kali ini lebih mencabar bagi setiap peserta di mana pada hari pertama iaitu sepanjang perjalanan ke Kampung Orang Asli (KOA) Sg Peria, peserta diuji dengan hujan yang lebat sepanjang perjalanan dengan jarak pandang terbatas, jalan yang ditenggelami air dan air sungai yang naik. Walau kedatangan mereka disambut dengan langit yang meratapi bumi, kehangatan dan semangat membara jelas terpancar di setiap sukarelawan.

Kedatangan sukarelawan disambut baik oleh penduduk kampung yang menanti dalam penuh sabar dan dialu-alukan dengan pemakaian selundang (dari daun kelapa). Para sukarelawan diagih-agihkan kepada 23 buah keluarga angkat. Pada awalnya, kami difahamkan hanya separuh keluarga yang sudi tapi alhamdulilah Allah berkehendak lain dengan jumlah keluarga angkat yang terlibat mendadak naik. Salah seorang penduduk kampung menyatakan, " sebelumnya sudah ada program anak angkat tapi  saya tidak bersedia untuk menerima anak angkat dan begitu juga penduduk lain, tapi kali ini kami merasakan kelainan dan merasakan untuk bersama dan meraikan kedatangan  anak angkat".

Dengan berkonsepkan kebersamaan, para sukarelawan dituntut untuk meraikan keluara angkat mereka dengan sebaik mungkin selaras dengan tujuan kedatangan mereka untuk meraika penduduk kampung. Di samping itu, program ziarah kali ini juga didominasi oleh aktiviti berasaskan kesihatan komuniti dan kesihatan asas serta diserikan dengan slot fisioterapi seperti refleksiologi dan ceramah fisotrapi.

Dengan menampilkan kelainan, sukarelawan telah meraih simpati penduduk kampung dengan kesungguhan sukarelawan dalam ziarah kali ini. Aktiviti sukaneka juga banyak melibatkan anak angkat dan keluarga angkat, aktiviti seperti ini secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi kebersamaan antara mereka.

Datangnya sukarelawan disambut dengan langit yang meratapi bumi tapi kepulangan mereka ditangisi oleh keluarga angkat. Bilamana seseorang menghargai dan menghormati  orang lain, orang lain juga akan menghargai dan menghormati kembali orang tersebut. Di ucapan perpisahan, tok bathin berpantun kepada perserta dan disambut balik oleh wakil yang ada. Ternyata, di dalam kesusahan pasti ada peluang untuk kembali berbakti.