Friday, June 5, 2015

Sepi bukan berarti tiada berita

Salam kehangatan dan salam kebersamaan kepada sahabat-sahabat..

Dalam sepinya update-update semasa, bukan berarti sepinya pertubuhan dan rakan-rakan pertubuhan dalam mengimarahkan setiap aktiviti di perkampungan |Orang Asli. Alhamdulilah, pertubuhan bersama sahabat-sahabat masih aktif dan istiqamah tapi dikarenakan kendala waktu, sebarang info tidak dapat dikemaskini sekerap mungkin. 

Antara program yang telah dijalankan adalah Program Cakna Ilmu anjuran mahasiswa jurusan farmasi RCMP di KOA Chadak. Manakala, Hospital Raja Permaisuri Bainun seperti tahun-tahun sebelumnya kembali menyantuni masyarakat Orang Asli dengan program khidmat masyarakat dan kempen kesihatan di KOA Makmur.

Ziarah mingguan pula masih berjalan seperti biasa di bawah seliaan |Ustz Abdul Halim dan Cikgu Dasuki di beberapa KOA khasnya KOA Tonggang. 

InsyAllah, dalam rangka meraikan ramadhan almubarak, pihak pertubuhan seperti tahun-tahun sebelumnya juga akan melakukan program mengimarahkan ramadhan bersama masyarakat Orang Asli. Pihak pertubuhan membuka seluas-luas kesempatan kepada sesiapa yang berminat untuk sama-sama kami dalam meraikan ramadhan disamping meraikan masyarakat Orang Asli. 

Saturday, February 7, 2015

Hikmah disebalik Musibah

Alhamdulilah, masih belum terlambat admin mengucapkan selamat tahun baru 2015. Pergantian tahun 2014 & 2015 diselitkan dengan pelbagai dugaan yang melanda negara akhir-akhir ini baik terutama banjir besar melanda negeri Kelantan serta beberapa tempat di Perak (di Kg Gajah, Hilir Perak dan beberapa perkampungan Orang Asli) serta beberapa buah negeri lain.

Usah melihat ianya semata-mata musibah yang merugikan, tapi fikirkan hikmah disebalik semua itu. Allah tidak pernah menduga hamba-hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah telah menduga ummat manusia terdahulu baik di zaman para Nabi dengan pelbagai ujian  dan dugaan yang terkadang tidak mampu difikirkan manusia zaman sekarang. Jika kita bicarakan satu persatu kisah tersebut, akan terlihat hikmah yang jelas yang mampu dipelajari ummat manusia sekarang. Kisah bahtera Nabi Noh yang dibina di atas pergunungan yang tinggi yang mustahil bagi akal akan berlakunya banjir besar, tapi Allah berkehendak maka jadilah sesuai kehendakNya. Kerana adalah sifat Allah iaitu Maha Berkehendak.

Musibah yang melanda negara bukanlah batu penghalang ketamadunan, tapi adalah sisipan pasti yang harus dicatatkan dalam sejarah manusia untuk dipelajari. Antara hikmah yang terbesar adalah, masih ada kepeduliaan dan rasa kebersamaan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan umur bahkan melangkaui sempadan fahaman politik.

Rakyat Malaysia disatukan atas kepeduliaan dan semangat kebersamaan yang tinggi dan menzahirkan dalam semangat sukarelawan yang tinggi. Tidak kira siapa pun kita, dan di mana pon berada, bantuan tidak putus-putus datang. Inilah membuktikan, bahwa Alla tidak pernah menduga ummatNya sia-sia.

Tapi dalam kehangatan yag murni, semangat ini dicemari oleh segelintir pihak dengan memanfaatkan untuk kepentingan peribadi dan kepentingan kumpulan tertentu. Disebabkan itu, Nabi SAW pernah bersabda akan kepentingan Niat..." Innamal akmalu bilniat" ( setiap amal itu disertaka dengan niat). Perkemaskan niat kita agar apa yang kita lakukan itu mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah. 

Thursday, November 6, 2014

AL haqq bilaa Nidzoom, yaghlibu al Baatil bi nidzoom

Konsep " AL haqq bilaa Nidzoom, yaghlibu al Baatil bi nidzoom" Di dalam Aktiviti Dakwah dan Kebajikan Masyarakat Orang Asli.

Di dalam usaha untuk merencanakan dan merancakkan pelbagai aktiviti dakwah dan kebajikan (ADK) bagi Masyarakat Orang Asli (MOA) sudah pasti memerlukan satu perancangan yang rapi. Tidak semudah kita melaksanakan ADK bagi masyarakat di bandar yang pertuturan bahasa hariannya sama dengan kita, pemakanan dan juga gaya hidup yang sudah serasi dengan kehidupan di bandar mahupun di persisiran bandar. Sepanjang penglibatan kami dalam ADK bagi MOA, kami dapati terdapat beberapa faktor dari sudut bahasa suku kaum, adat resam, penerimaan MOA terhadap masyarakat luar ke KOA dan beberapa faktor yang lain perlu diambil kira dan diperhalusi sebelum sesuatu ADK boleh dilaksanakan. 

Justeru itu, kami telah mengenal pasti beberapa strategi perlu digariskan sebagai panduan untuk melaksanakan sesuatu misi ADK samada berbentuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Di antara strategi-strategi dan juga pendekatan yang kami telah adaptasikan ialah seperti berikut:- 
1. Konsep "smart partnership" ; 
2. Multi Level Marketing ("MLM"); 
3.Garis Panduan Pemilihan/Pelaksanaan Modul yang standard; 
4. "Networking" yang mantap dan luas; 
5. Kesinambungan hubungan ukhuwwah yg dijalinkan/hubungan yang baik dgn MOA; 
6. Adunan kepelbagaian kepakaran; 
7. Fleksibel; dan 
8. Menjiwai setiap ADK yang dilaksanakan. 

Apa pun strategi-strategi yang kami gariskan tetapi kata kunci yang kami WAJIB pegang dan paling ASAS ialah NIAT yg IKHLAS, semata-mata kerana Allah SWT. 

In shaa Allah kami akan memperincikan satu persatu strategi-strategi yang telah kami gariskan pada masa akan datang. Kami amat terbuka dan sangat mengalu-alukan dari semua pihak untuk sama-sama menilai dan memberikan sumbang saran mahupun ide yang membina bagi memantapkan lagi strategi untuk ADK bagi MOA. 

Sekian 


#sedang membuat persiapan untuk Program Mahabbah Outreach (7-9 Nov. 2014 bertempat di KOA Kg Pisang, Sg. Siput, Perak) anjuran bersama KPTM, MRA Pusat, MRA Perak, COMRADE IIUM, JAIPk, JAKIM, JAKOA dan Sukarelawan Medical Team dari UniKL RCMP. 





Wednesday, November 5, 2014

Bicara Perjuangan

Lebih kurang 14 tahun yang lalu, perjuangan beliau di dalam dunia dakwah belantara bermula. Dengan berbekalkan semangat dan niat untuk mendidik, beliau gagahkan untuk membelah belantara dan dalamnya tasik. 

Pada awalnya, beliau hanya merupakan guru agama dan fardu ain dengan pendapatan ketika itu hanya RM 400 sahaja. RM 100 disisihkan untuk usaha dakwah beliau di belantara, dan sisanya untuk beliau dan keluarga beliau di Grik.

Perjalanan dakwah beliau bermula sebaik sahaja beliau melangkah keluar rumah yang pada ketika itu di Grik dengan menaiki prebet sapu ke jeti Tasek Temenggor. Dan perjalanan dilanjutkan ke perkampungan Orang Asli Pos Kemar dengan menggunakan bot. Beliau membelanjakan RM20 untuk prebet sapu dan RM 20 untuk sewa bot setiap bulannya. Manakala, sebanyak RM 60 beliau belanjakan untuk membeli barang-barang makanan seperti beras, gula, kopi, susu dan sebagainya untuk meraikan penduduk kampung Orang Asli.

Bukan hanya dugaan dalam berdakwah, beliau juga diuji untuk meninggalkan keluarga seketika bagi memastikan usaha dakwah di pendalaman benar-benar berhasil. Dalam sebulan, hampir separuh daripadanya beliau berada di pendalaman. Perjuangan yang cukup berat bagi beliau dan keluarga beliau ketika itu.

Bersinarnya permata dakwah muda akhirnya ditanggapi oleh seseorang yang amat berpengaruh iaitu Ustz Hj Halimin. Beliau menawarkan dan mencadangkan pendakwah muda ini dilantik sebagai salah seorang mubaligh Islam Orang Asli di bawah Majlis Agama Islam Perak (MAIPk)/ Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Akhirnya beliau ditempatkan di perkampungan Orang Asli Kenang, Sungai Siput dan mendalami ilmu agama dan peran sebagai pendakwah belantara. Kian hari, sinarnya makin cerah dengan kesungguhan dan komitmen beliau yang tidak berbelah bagi dalam usaha dakwah belantara. Pada ketika itu, beliau bukan hanya ditempatkan untuk bertugas di sana tapi turut memulakan langkah hijrah beliau sekeluarga untuk tinggal bersama-sama masyarakat Orang Asli.

Dalam melangkah, pasti ada aral yang melintang di tengah-tengah. Tapi berbekalkan sabar dan semangat tidak putus asa, beliau terus melangkah mencicipi hari demi hari sesuai dengan motto beliau "Tiada Hari Tanpa Dakwah".

Hingga saat ini, beliau merupakan mubaligh Islam Orang Asli yang disegani dikalangan mubaligh-mubaligh / penggerak baru JAIPk/ JAKIM dan dikalangan sahabat-sahabat sukarelawan belantara NGO.

Beliau yang saya maksudkan adalah AF Ustaz Abd Halim bin Abd Latiff, pengerusi Pertubuhan Dakwah dan Kebajikan Masyarakat Orang Asli Hulu Kinta Perak. Semoga Allah terus merahmati dan mempermudahkan urusan beliau di dalam dunia dakwah belantara. Ameen.













Monday, November 3, 2014

Program Ziarah & Anak Angkat ke Perkampungan Orang Asli Sg Peria, Kampar

Alhamdulilah, Program Ziarah & Anak Angkat ke Perkampungan Orang Asli Sg Peria, Kampar pada 31 Oktober - 2 November telah berjaya disempurnakan dengan jayanya. Program kali ini ditunjangi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dan pertubuhan selaku penyelaras sukarelawan.  Dengan kekuatan seramai 35 orang sukarelawan & pengiring dari Kolej Perubatan Di Raja Perak (RCMP-UniKL), program ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang 3 hari 2 malam tersebut yangmana didominasi oleh program berasaskan kesihatan komuniti dan kesihatan asas.

Program kali ini lebih mencabar bagi setiap peserta di mana pada hari pertama iaitu sepanjang perjalanan ke Kampung Orang Asli (KOA) Sg Peria, peserta diuji dengan hujan yang lebat sepanjang perjalanan dengan jarak pandang terbatas, jalan yang ditenggelami air dan air sungai yang naik. Walau kedatangan mereka disambut dengan langit yang meratapi bumi, kehangatan dan semangat membara jelas terpancar di setiap sukarelawan.

Kedatangan sukarelawan disambut baik oleh penduduk kampung yang menanti dalam penuh sabar dan dialu-alukan dengan pemakaian selundang (dari daun kelapa). Para sukarelawan diagih-agihkan kepada 23 buah keluarga angkat. Pada awalnya, kami difahamkan hanya separuh keluarga yang sudi tapi alhamdulilah Allah berkehendak lain dengan jumlah keluarga angkat yang terlibat mendadak naik. Salah seorang penduduk kampung menyatakan, " sebelumnya sudah ada program anak angkat tapi  saya tidak bersedia untuk menerima anak angkat dan begitu juga penduduk lain, tapi kali ini kami merasakan kelainan dan merasakan untuk bersama dan meraikan kedatangan  anak angkat".

Dengan berkonsepkan kebersamaan, para sukarelawan dituntut untuk meraikan keluara angkat mereka dengan sebaik mungkin selaras dengan tujuan kedatangan mereka untuk meraika penduduk kampung. Di samping itu, program ziarah kali ini juga didominasi oleh aktiviti berasaskan kesihatan komuniti dan kesihatan asas serta diserikan dengan slot fisioterapi seperti refleksiologi dan ceramah fisotrapi.

Dengan menampilkan kelainan, sukarelawan telah meraih simpati penduduk kampung dengan kesungguhan sukarelawan dalam ziarah kali ini. Aktiviti sukaneka juga banyak melibatkan anak angkat dan keluarga angkat, aktiviti seperti ini secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi kebersamaan antara mereka.

Datangnya sukarelawan disambut dengan langit yang meratapi bumi tapi kepulangan mereka ditangisi oleh keluarga angkat. Bilamana seseorang menghargai dan menghormati  orang lain, orang lain juga akan menghargai dan menghormati kembali orang tersebut. Di ucapan perpisahan, tok bathin berpantun kepada perserta dan disambut balik oleh wakil yang ada. Ternyata, di dalam kesusahan pasti ada peluang untuk kembali berbakti.
















































Thursday, October 23, 2014

Apa yang anda faham tentang sukarelawan?

Akhir-akhir ini, aktiviti-aktiviti sukarelawan kian popular di kalangan masyarakat. Aktiviti kesukarelawan ini digerakkan oleh pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi  malah juga individu. Bertepatan dengan apa yang pernah disuarakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi tentang pembentukan modal insan yang berkualiti dan bermanfaat. 

Bahkan kini, Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib Razak juga mempunyai pandangan yang sama dan beliau telah merealisasikan hasrat ini dalam pelbagai bentuk program seperti IM4U. Bahkan syarikat-syarikat korporat juga telah menzahirkan sokongan dengan membiayai sebahagian daripada usaha ini.

Walaupun berbeza target kumpulan sasar, tapi matlamatnya hampir sama iaitu memupuk semangat sukarelawan, kerjasama, toleransi, kebersamaan dan kepeduliaan antara sukarelawan dan komuniti. Ada yang menyisakan sedikit kesempatan mereka dengan berjalan di malam hari untuk mengagihkan selimut dan makanan kepada 'homeless', ada pula yang meredah belantara yang tebal untuk bersama dengan masyarakat Orang Asli dan meraikan mereka, bahkan ada yang menyempatkan diri setiap hujung minggu untuk ziarah rumah orang-orang tua dan anak yatim. 

Tapi apa yang utama dalam setiap perkerjaan yang kita lakukan adalah niat. Nabi Muhammad SAW juga bersabda :

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ” إنما الأعمال بالنيات , وإنما لكل امرئ ما نوى , فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله , ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها و امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه “- متفق عليه –

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khathab radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Segala amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu Karena kesenangan dunia atau karena seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya”.

[Diriwayatkan oleh dua orang ahli hadits yaitu Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughirah bin Bardizbah Al Bukhari (orang Bukhara) dan Abul Husain Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naisaburi di dalam kedua kitabnya yang paling shahih di antara semua kitab hadits. Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907]

Sehebat apa pun program yang kita ikuti bahkan kita laksanakan, yang terpenting adalah niat. Bilamana niat itu kerana riak dan kesombongan, maka sia-sialah usaha yang dilakukannya kerana tidak kerana Allah. Tapi, sekecil apa pun perkara yang kita kerjakan tapi kerana Allah, maka nilaian amat tinggi di sisi Allah.

Maka dengan itu, kami menyeru setiap sukarelawan di luar sana, perbetulkanlah niat kita agar apa yang kita kerjakan ini mendapat redha dari Allah.